CERPEN : Terima Kasih Sebab Sudi Mengambil Saya sebagai Isteri


Dipetik dari : Paku Karat



Takdir . Seorang pemuda telah berkenan pada seorang gadis di twitter . Bertutup aurat dengan baik . Tak banyak bicara . Tak banyak songeh . Dipendekkan cerita mereka pun disatukan . Pada malam pernikahan , pengantin baru pun berbicara .
Isteri : ” Boleh saya terus terang ? ”
Suami : ” Ya , dah suami isteri kan . Apa nak malu – malu . ”
Isteri : ” Sebenarnya , saya dah tiada dara . Kesilapan saya di zaman remaja . Saya jahil dulu . Saya dah cuba berterus-terang sebelum nikah . Tapi , saya dah jatuh cinta dengan awak . Maafkan saya . “
Suami terdiam. Nampak seakan terkejut.
Suami : ” Saya . . saya lepaskan awak dengan talak satu . Jangan risau . Saya takkan minta awak bayar semua kos ganti rugi belanja nikah . Saya takkan sentuh awak . Awak boleh duduk di rumah ini kalau awak nak . Saya akan pindah . ”
Isteri : ” Takpe . Hantar saja saya ke rumah mama saya . Saya reda . Saya . . . tak layak . . berada di sini . . . “
Si gadis menitiskan air mata dalam tutur yang seakan terlekat di kerongkong . Memang dia dah agak . Dia dah rasa akan jadi begini . Pasrah segalanya . Pemuda tidak mampu menerima hakikat dia bernikah dengan bekas penzina .
Pada teorinya , pada dalilnya , penzina adalah pasangan cocoknya penzina juga ! Dirinya bukan penzina !
** Waktu berlalu . Masa berdetik . Setahun kemudian . Pemuda berada di wad . Sudah 5 bulan berlalu sejak beliau menjalani pemindahan organ . Hatinya yang rosak telah digantikan dengan bahagian lobul hati penderma . Sejak 5 bulan itulah, beliau berulang-alik stay di hospital untuk sesi terapi dan rawatan ulangan . Pemuda menonton tazkirah di I-Padnya sambil menanti kehadiran doktor .
Seorang tuan guru popular berceramah seputar tajuk ‘ Zalim ‘ , “
Pada Allah, hamba itu kesemuanya hina melainkan hamba yang bertaqwa . Masakan seorang hamba dengan angkuh memandang hina hamba yang lain
sedangkan dirinya juga seorang hamba hina . Kalau bukan kerana Allah yang memberikan akal pemikiran sehingga mampu berpakaian , mengurus diri , makan dengan teratur dan belajar, sudah pasti hamba itu sama taraf dengan binatang ternakan saja ! ” Tertusuk seketika kalbu pemuda .
Tuan guru menyambung lagi , ” Misalnya , sering kita baca di dada akhbar kes-kes perceraian. Pada hemah saya , puncanya lebih kepada suami . Kerana sayang seorang perempuan bernama isteri adalah melebihi sayang seorang suami kepadanya . Sifat perempuan adalah menyayangi . Keras seperti batu konkrit macam mana pun , mampu dilembutkan dengan kasih sayang suami.
Sebab itu sering kita baca juga, walaupun suami penagih dadah sebagai contoh , masih si isteri setia menanti perubahan suami . Masih sayang pada suami tidak berganjak walaupun pada pemikiran kita tindakan itu gila . Pada wanita , bila ada lelaki ambilnya sebagai isteri itu merupakan suatu rahmat , syukur yang teramat sangat pada Allah . Dia tak jadi anak dara tua . Dia ada tempat bergantung . Isteri cuma mampu bersuami satu .” “ Jangan zalim . Selagi seseorang itu masih berTuhan , selagi itu ada harapan . Masa silam bukan hukuman . Masa silam adalah pengajaran . Jangan diulang di masa depan . Demi Allah , kita tidak kuat . Kerana Allah , kita harus kuat . Bila Allah sudah pasangkan ‘ lampu ‘ hidayah dalam hati seseorang , jangan pula kita pergi padamkannya .
Disebut dalam hadis Qudsi , ‘ Aku (Allah) sangat murka ke atas orang yang melakukan kezaliman terhadap seorang yang tidak punya pembela selain Aku . ‘
(HR al-Thabrani)
Allah yang membukakan pintu taubat dan pintu Syurga . Mana hak kita untuk menutupnya ? ” Tup .
Ditutup terus ceramah itu oleh si pemuda. Malas nak disambung dengarnya .
Doktor yang merawat masuk ke biliknya.
Doktor : ” Ada khabar dukacita yang saya ingin sampaikan . ”
Pemuda : ” Apa ya ? ”
Doktor : ” Penderma hati mengalami komplikasi teruk . Tiga bulan pertama , beliau mengalami kecederaan organ dan muntah darah . Badannya yang makin lemah serta beliau sendiri mengalami kemurungan . . akhirnya minggu lepas , beliau meninggal dunia . ”
Pemuda : ” Innalillahi wainna ilaihi raaji’un . ”
Doktor : ” Ada sesuatu beliau tinggalkan untuk kamu . “
Doktor menyerahkan sesuatu pada pemuda itu.
Sepucuk surat dan sepasang baju . Perlahan-lahan dibacanya ,
” Awak , ingat tak baju ni ? Ini adalah baju nikah awak . Awak tahu tak , baju ni saya jahitkan sendiri untuk awak . Seminggu saya belajar jahit sampai luka-luka jari . Tak pandai sangat . Tapi , alhamdulillah siap juga . Sangat gembira bila awak pakai di hari pernikahan kita . Awak , mungkin kasih saya ni , awak tak dapat terima disebabkan kisah silam saya . Namun , janganlah awak tolak hati saya yang berada dalam diri awak sekarang . Ini hadiah saya untuk awak sebab sudi mengambil saya sebagai isteri . Walaupun tidak sampai 24 jam , awak tetap suami dunia dan akhirat . Maaf bila saya tak sempurna .”
Pemuda kehilangan kata-kata . Tumpah seribu air mata .



1 comment:

  1. Are you looking for free Twitter Followers?
    Did you know that you can get them ON AUTO-PILOT & ABSOLUTELY FREE by registering on Like 4 Like?

    ReplyDelete